Friday, 15 January 2016

Asas Tafsir Al-Quran

TAFSIR AL-QURAN PERINGKAT ASAS
Sesi 1 - 20 Usul Tafisr Al-Quran Dan Usul Pertama - Tafsir Al-Quran Dengan Al-Quran

Maulana Muhammad 'Asri Yusoff
Kota Bharu,Kelantan
13 Jan 2016

NOTA KULIAH:
RINGKASAN 20 USUL TAFSIR AL-QURAN
(Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat)

1. Tafsir Al-Qur’an dengan Al-Quran
2. Tafsir Al-Qur’an dengan Hadits-hadits Sahih
3. Tafsir A-Qur’an Dengan Pendapat-Pendapat Sahabat
4. Tafsir A-Qur’an Dengan Pendapat-Pendapat Tabi’in
5. Tafsir Al-Qur’an Berdasarkan Pendapat-Pendapat Yang Bersesuaian Dengan Qaedah-Qaedah Bahasa ‘Arab
6. Tafsir Al-Qur’an Menggunakan Fikiran
7. Tafsir Al-Qur’an Berpandukan Ayat Sebelum Dan Selepas
8. Memahami Al-Qur’an Berdasarkan Tertib Turun Ayat
9. Memahami Al-Qur’an Berdasarkan Tertib Yang Ada
10. Mengetahui Struktur Makro (Topik Umum) Setiap Surah
11. Mengetahui Tajuk Perbincangan Khusus Setiap Surah
12. Mengetahui Struktur Mikro Dalam Setiap Ayat Al-Qur’an
13. Mengetahui Kata Kunci Di Dalam Setiap Surah
14. Mengetahui Kesinambungan Antara Dalil Dan Madlul Dalam Sumpah-Sumpah
15. Mengelak Diri Daripada Menta’wilkan Ayat-Ayat Mutasyabihat
16. Mengetahui Sebab Turun Ayat Dan Apa-Apa Yang Bersesuaian Dengannya
17. Mengetahui Ayat-Ayat Yang Menasakhkan Dan Ayat-Ayat Yang Dimansukhkan
18. Mengelak Diri Daripada Tafsir Golongan-Golongan Yang Sesat
19. Mengelak Diri Daripada Riwayat-Riwayat Israiliyat Dalam Penafsiran Al-Qur’an
20. Bercermat Dalam Tafsir Al-Qur’an Menggunakan Sains Moden

PERINCIAN:

1. TAFSIR AL-QURAN DENGAN AL-QURAN
Usul pertama yang perlu dipakai dalam mentafsir al-Qur’an untuk mendapat kefahaman yang betul dan selamat ialah mentafsir al-Qur’an sendiri.
Antara sebab kenapa usul ini perlu dipakai ialah kerana :
(a) Orang yang bercakap lebih mengetahui tentang apa yang dikehendakinya dengan percakapannya. Dialah yang orang paling patut diutamakan untuk
anda mengetahui maksud percakapannya.

(b) Al-Qur’an kadang-kadang menyebutkan sesuatu secara ijmal. Kadang-kadang pula secara tafshil.
(c) Tidak ada sebarang pertentangan di dalam al-Qur’an, sama ada antara perkataan-perkatannya atau antara ayat-ayatnya. Al-Quran ialah kalam Allah. Ia membenar dan menguatkan satu sama lain. Ia juga mentafsir, menghurai dan menjelaskan satu sama lain.

Ribuan contoh terdapat di dalam al-Qur’an. Sebagai panduan ambil saja dua daripadanya;


(a) Di dalam ad-Dukhan ayat 3, Allah menceritakn bahawa Dia menurunkan al-Qu’ran pada satu malam yang diberkati. Apakah malam itu? Ia ialah malam Qadar. (lihat ayat 1 Surah al-Qadr). Malam Qadr itu terletak dalam bulan apa pula? Jawabnya di bulan Ramadhan. (lihat ayat 185, Surah al-Baqarah).

(b) Al-Qur’an beberapa kali menyebutkan manusia akan mendapat balasan dan ganjaran bagi segala usahanya. Kalau dia mahu dunia, dia akan mendapat dunia. Kalau dia mahu akhirat, dia juga akan mendapatnya. Orang-orang Islam diajar supaya meminta dunia dan akhirat, kedua-dua sekali. Sesiapa yang mencari dan meminta dunia sahaja, dia tidak akan mendapat apa-apa di akhirat nanti. Pada Allah ada dunia dan akhirat. Untuk mendapat apa-apa, sama ada di dunia atau akhirat, perlu ada usaha. Al-Qur’an menggunakan perkataan untuk usaha pencarian dunia dan akhirat. Perkataan ‘al-Harts’ baru dapat difahami dengan betul dan lengkap maksudnya apabila anda mengaitkannya juga dengan ayat 223 di dalam Surah al-Baqarah, ayat 134 di dalam Surah an-Nisaa’ dan ayat 20 di dalam Surah as-Syura.

No comments:

Post a Comment